يَسِّرُوا وَلا تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلا تُنَفِّرُوا

Tentang Penulis

Dilahirkan beberapa puluh tahun yang lalu sekitar tahun 1986 di sebuah negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Sekarang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Memegang amanah sebagai Presiden Persatuan Bahasa Arab UPSI. Tujuan utama penulisan blog adalah untuk berkongsi apa yang ada dan saling bertukar-tukar pendapat. 'Kita bersepakat dalam perkara yang kita sepakati dan kita berbeza pendapat dalam perkara yang sepatutnya'.

“Dan jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.” [An-Nisa’ 4: 59]

Sabda Rasulullah: "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafah Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar), dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham. Dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat." - HR Imam Abu Daud dan Imam Tirmidzi

*Hadith ini shahih seperti mana ditahqiiq oleh alMuhaddith alAlbani dalam Silsilah asShahihah, 2/647, #937



Aku menulis lagi

by Ibnu Shaffii | Saturday, May 09, 2009 in | comments (0)


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani...

Alhamdulillah... Tiba-tiba malam ni rasa nak menulis setelah beberapa bulan tak menulis. Agak sibuk semester ni. Jenuh juga nak sign in sebab dah lupa pasword. Test punya test 2-3 kali baru dapat log in.

Semester dah berakhir. Final exam pun dah berakhir tapi tanggungjawab sentiasa bertambah. Aku teringat satu entri dalam satu blog, penulis blog tu memberitahu kebanyakan kita hanya merasa bertanggungjawab apabila ada jawatan. Bagiku, ada betul juga kata-kata penulis tu. Kita sentiasa dibebani dengan tanggungjawab tapi bagaimana kita menguruskan tanggungjawab itu lebih utama daripada kita lari daripada tanggungjawab.

Walaupun cuti semester dah bermula tapi belum boleh balik lagi ke kampung. Ada beberapa perkara perlu dibereskan terutama 'Program Mari Mengajar'. Dalam mesyuarat dengan Dato NC minggu lepas, beliau amat bersungguh-sungguh untuk memperkasakan Sekolah Agama Rakyat (SAR) ni. Aku amat respek terhadap beliau. Sama-sama kita doakan semoga projek ni berjalan dengan lancar walaupun biasanya kerja-kerja baik akan ada halangannya.

Untuk peserta 'Program Mari Mengajar', teruskan usaha kalian untuk mengajar. Sesungguhnya pengalaman tak dapat dibeli. Ia hanya dapat dirasai setelah mengalaminya sendiri. InsyaAllah aku akan sentiasa ada untuk membantu selagi mana mampu.

Aku rasa setakat ni dulu untuk kali ni. InsyaAllah ada masa aku akan menulis lagi.

Balik Kampung

by Ibnu Shaffii | Tuesday, December 23, 2008 in | comments (0)


Bismillahirrohmanirrohim...

Lebih kurang jam 7.00 petang 22 Disember 2008 bas yang dinaiki tiba di stesen bas Kota Bharu. Sampai juga aku dengan selamat walaupun agak lambat dari biasa. Alhamdulillah... Bas yang sepatutnya berlepas dari Terminal Hentian Putra Kuala Lumpur pukul 10.00 pagi terlewat sehingga jam 11.00 pagi menyebabkan agak lewat sampai di Kota Bharu. Mujurlah sepanjang perjalanan tidak ada halangan yang melambatkan perjalanan bas.

Kini aku berada di kampung untuk sama-sama menikmati cuti semester seperti kawan-kawan seperjuangan yang lain yang telah lama cuti. Baru merasa dapat bercuti. Walaupun ada kawan-kawan yang dah balik ke UPSI tetapi itu tidak menjadi masalah kerana mereka ada urusan yang perlu diselesaikan.

Tiket yang dibeli pada 4 hb Januari 2009 terpaksa dijual balik kerana aku terpaksa pulang lebih awal kerana ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan sebelum pembelajaran bermula iaitu pada 5 hb Januari 2009. Antaranya 2 kertas kerja yang belum siap dan juga beberapa urusan dengan HEP dan persatuan.

Berada di kampung tidak beerti boleh berehat sewenang-wenangnya. Walau di mana sekalipun berada ilmu tetap mesti dicari. Di kampung lain caranya berbanding di kampus. Apa yang penting pencarian ilmu tidak hanya melalui dalam kelas semata-mata. Hanya kemahuan dan usaha menjadi kayu pengukur.

Bermula semester hadapan tanggungjawab aku semakin bertambah. Aku sentiasa berharap dapat membetulkan diri sendiri dan juga menjadi contoh kepada orang lain. Juga dapat membuat penambahbaikan dalam akhlak dan juga ilmu pengetahuan samada ilmu akademik dan juga ilmu agama.

Wallahua'lam.

p/s: Islam ditegakkan Sunnah dihidupkan

Suatu Kemestian

by Ibnu Shaffii | Wednesday, December 17, 2008 in | comments (0)




Tuk tuk tuk...

"Assalamualaikum ustaz".

"Waalaikummussalam warohmatullah. Masuk-masuk..."

Aku dengan menggaru-garu belakang kepala yang tak gatal masuk ke bilik ustaz Khairul untuk berbincang dengan beliau mengenai kertas kerja yang dihantar beberapa minggu yang lalu oleh dua orang sahabat seperjuangan iaitu Nazri dan Rafaie.

Aku dipelawa duduk dan tanpa membuang masa aku duduk sambil mata menjeling ke arah 2 kertas kerja atas meja ustaz. Aku menceritakan serba sedikit mengenai keadaan sekarang dan bertanyakan tentang kertas kerja itu.

"Macam mana ustaz?", aku bertanya.

"Ok je cuma ada beberapa penambahbaikan dalam kertas kerja ini", balas ustaz lalu menunjukkan perkara yang patut diperbaiki dalam kertas kerja itu.

Aku mendengar satu persatu apa yang ustaz perkatakan dan aku mengeluarkan pen serta buku nota yang memang aku bawa untuk catat apa-apa yang patut. Rupa-rupanya baru aku menyedari pen yang dibawa sudah tidak ada dakwat.

"Nak cepat punya pasal tadi sampai ambil pen yang takde dakwat", keluh aku sendirian.

Aku terus mendengar kata-kata ustaz. Kami juga berbincang mengenai hala tuju persatuan untuk semester akan datang. Setelah satu jam lebih berbincang aku memohon untuk berundur. Ustaz sempat berpesan padaku jangan lupa tujuan asal iaitu untuk berdakwah dan persatuan ini sebagai platformnya.

Aku terus ke Pekan Tg Malim untuk membeli tiket bas ke Puduraya kerana hujung minggu ni aku ada satu lagi program. Terpaksa bertolak awal kerana telah 'dihalau' dari kolej. Teringat juga ayam itik kat kampung.

Besar juga tanggungjawab aku nanti. InsyaAllah akan sama-sama memperkuatkan persatuan ini dengan sahabat-sahabat sekalian. Apa yang aku harapkan sokongan dari sahabat-sahabat semua. Itu sudah mencukupi.

Aku teringat satu pesanan tapi tak ingat siapa yang bagi pesanan ni kat aku "Walaupun 10 kali kita buat kebaikan tapi sekali kita buat kesalahan orang akan nampak yang salah itu dulu". Apa-apa pun kita cuba buat yang terbaik dan jangan kita hanya mengharapkan redha manusia semata-mata tetapi lebih mengharapkan redha Allah kerana bukan semua perkara yang Allah izinkan ia berlaku dibawah redhaNya. Tetapi semua yang diredhai mendapat izinNya.

Semoga semua perkara yang kita lakukan sentiasa mendapat izin dan redhaNya dan bukan hanya izinNya sahaja. InsyaAllah. Banyakkan bersyukur atas apa ada dan berusaha untuk memperbaiki diri. Aku sangat mengalu-alukan kepada sahabat-sahabat yang ingin membetulkan diriku kerana aku menyedari sangat banyak melakukan kesalahan kerana kejahilan.

"...Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji." [Luqman 31: 12]

Wallahua'lam.

Kem Tahunan

by Ibnu Shaffii | Sunday, November 23, 2008 in | comments (0)

Bismillahirrohmanirrohim...

Assalamualaikum wbt...

Hari ini menulis lagi. Saat ini mungkin hari terakhir menulis sebelum blog ini tidak di'update' untuk suatu tempoh yang agak lama. Lebih kurang 15-20 hari. Hari ini adalah hari terakhir persiapan bagi semua pegawai kadet Palapes UPSI. Membeli yang mana patut. Satu barang je tak cukup dapat rasakan akibatnya. Istilah yang popular bagi setiap kadet ialah NKB (Nasib Kurang Baik). Bak kata jurulatih 'kau mintak kau dapat'.

Kem tahunan kali ni adalah yang ketiga bagi aku. Bermula 24 November - 15 Disember 2008 kalau tak silap. Latihan bermula jam 6 pagi - 12 tengah malam. Lepas ni dah takde dah. Pelbagai suka dan duka sepanjang dua kali kem tahunan tahun-tahun lepas. Semasa latihan kebanyakan kadet 'berduka' tapi setelah latihan semuanya 'bersuka'. Bagi aku apa-apa pun, perlulah bersederhana dalam semua perkara. Tapi terkadang-kadang 'lost control' juga. Biasa la mental.



Perkara yang paling aku risau ialah mengenai penjagaan solat. Bukan aku nak memburukkan sesiapa tapi ada yang tidak menjaga solatnya. Kebelakangan ini ramai umat tidak berapa prihatin mengenai solatnya. Aku doakan semoga kali ni semua kadet tidak meninggalkan solat kecuali mereka yang terkecuali. Alhamdulillah beberapa hari lepas berpeluang menemui seorang pensyarah UPSI untuk bertanyakan tentang solat. Semakin banyak bertanya semakin banyak yang tak tahu. Setelah bertanya apa yang ingin ditanya ternyata Islam itu sangat mudah. Islam itu mudah tapi bukan untuk dipermudahkan.

Contohnya, jika kita tidak mendapati air setelah puas mencari maka kita dibolehkan tayammum dengan syarat telah masuk waktu. Juga boleh memakai kasut dan tidak perlu membukanya semasa mengambil wudu'. Beberapa pemerhatian yang aku buat, kebanyakan kita akan rasa pelik jika lihat seseorang solat selain daripada cara dia solat. Dan mula menuduh macam-macam tanpa mengkaji dan menyelidik terlebih dahulu.



Ingatan untuk sahabat-sahabat dan juga aku sendiri jangan kita cepat menuduh atau melabel seseorang tanpa kita selidiki terlebih dahulu dalam apa-apa perkara sekalipun. Aku ingin berkongsi satu sejarah di mana suatu ketika dulu aku ada juga melabel beberapa orang kerana terikut cakap orang-orang sekeliling. Tapi setelah membuat sedikit kajian dan pembacaan ternyata perkara sebaliknya berlaku. Astagfirullahal 'azim...

Mohon pada Allah supaya sentiasa melimpahkan rahmahNya dan semoga kita semua sentiasa diberi taufik dan hidayah. Wallahu a'lam.

Penulis, Aku, Saya & Ana

by Ibnu Shaffii | Tuesday, November 11, 2008 in | comments (0)

السلام عليكم ورحمة وبركاته




Bismillahirrohmanirrohim...

Aku menulis lagi. Tinggal hanya satu subjek lagi untuk diduduki iaitu Pengenalan Kimia 1. Walaupun hanya Pengenalan tapi agak susah juga jika tidak baca dan faham betul2. Setakat 5 subjek sebelum ni, semua yang aku baca ada dalam kertas soalan tapi malangnya tidak semua yang ada tu aku ingat. Itulah antara kelemahanku. Bagiku jika apa yang aku baca tak masuk kepala lantas aku menukar strategi iaitu ke bilik kawan2 atau baca benda2 lain.

Berbalik kepada topik, mungkin akan ada sesetengah daripada pembaca akan complain sebab menggunakan perkataan 'aku' sebagai ganti diri. Jika diteliti betul2, ada juga aku menggunakan 'penulis', 'ana' dan juga 'saya' sebagai ganti diri. Tetapi lebih banyak menggunakan perkataan 'aku. Bagi kawan-kawan yang mengenali diri ini, mungkin mereka sudah faham berkenaan diriku. Umpamanya, aku menggunakan 'kami' sebagai ganti aku dengan beberapa orang kawan dari Kedah walaupun pada awalnya agak keras lidah untuk menyebutnya.

Secara realitinya, aku mempunyai ramai kawan yang terdiri dari pelbagai golongan dan negeri. Dengan kebanyakan mereka, perkataan 'aku' lebih banyak digunakan berbanding 'saya' atau 'ana'. Hakikatnya kita perlu tengok kepada keadaan dan masa kita menggunakan perkataan itu. Sesetengah tidak selesa menggunakan perkataan 'aku' manakala sesetengah lagi tidak selesa untuk menyebut 'ana' dan 'enta/enti'.

Walaubagaimanapun, dalam blog ni lebih selesa menggunakan perkataan 'aku' sebagai ganti diri dan diharap kepada kawan mahupun lawan tidak berasa hati. Dalam konsep dakwah sekalipun, kita digalakkan untuk berbahasa sesuai dengan tahap seseorang itu untuk seseorang itu mudah menerima disamping doa kita pada Allah.

Apa-apa pun, aku sangat berharap kepada kawan-kawan supaya sentiasa tegur-menegur dan nasihat menasihati antara satu sama lain termasuk diriku sendiri jika ada berbuat kesilapan. Akhir kalam, aku teringat kata-kata ini,"dalam kebenaran kata-kataku mungkin ada kesalahan dan dalam kesalahan kata-kata orang lain mungkin ada kebenarannya".

Wallahu a'lam.

Kini Kembali...

by Ibnu Shaffii | Friday, November 07, 2008 in | comments (1)

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera...



Setelah lama berfikir akhirnya aku membuat keputusan untuk memiliki blog sendiri. Sebelum ini ramai kawan-kawan bertanya tentang blog aku tapi aku hanya memberitahu aku tidak ada blog. Mungkin ada yang tertanya-tanya untuk apa aku membuat blog sendiri. Jauh di sudut hati aku ingin berdakwah menerusi ilmu ICT ini. Nak berdakwah guna mulut mungkin belum cukup ilmu lagi.



Semoga dengan penubuhan blog ini aku dapat meneruskan cita-cita dan berkongsi ilmu dengan kawan-kawan diluar sana tidak kira ilmu apa-apa pun kerana semua ilmu itu datang dari Allah. Akhirnya aku ingin mengingati kawan-kawan 'bloggers' dan juga diri aku sendiri supaya sentiasa menjaga adab dan akhlak dalam penulisan kerana setiap apa yang kita lakukan akan dipertanggungjawab di akhirat kelak.


Wallahu a'lam.